Gelombang keluar parti besar-besaran, Warisan Keningau lumpuh?

Foto FB Ismail Sabran

KENINGAU: Teka-teki peletakan jawatan beramai-ramai dalam kalangan kepimpinan Parti Warisan Sabah Bahagian Keningau semakin hangat diperkatakan, sekali gus mencetuskan spekulasi wujudnya pergolakan dalaman yang serius.

Difahamkan, tindakan drastik itu bukan sekadar melibatkan beberapa individu, sebaliknya hampir keseluruhan barisan utama termasuk ketua bahagian, naib ketua, ketua wanita, ketua wira serta ahli jawatankuasa bahagian.

Lebih mengejutkan, 21 ketua cawangan yang hadir dalam satu pertemuan turut mengambil langkah sama apabila mengemukakan peletakan jawatan secara serentak.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan besar mengenai kestabilan struktur organisasi parti berkenaan di Keningau, malah ada pihak mendakwa ia kini ‘lumpuh’ sehingga 90 peratus.

Sumber dalaman memaklumkan, walaupun punca sebenar belum disahkan, tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan isu kepimpinan dan hala tuju parti di peringkat bahagian.

“Ini bukan perkara kecil. Bila hampir semua kepimpinan ambil keputusan sama, pasti ada sesuatu yang tidak kena,” kata sumber.

Bekas ADUN Liawan (Tengah). Foto Ismail Sabran

Dalam masa sama, situasi berkenaan turut dikongsi seorang pegawai kanan kerajaan negeri menerusi media sosial, yang memaklumkan peletakan jawatan itu diketuai oleh bekas ADUN Liawan, Rasini Kautis bersama barisan kepimpinan lain.

Namun, apa yang menimbulkan tanda tanya, masih terdapat beberapa pemimpin yang belum mengesahkan status mereka sama ada kekal atau turut meletak jawatan.

Sehingga kini, kepimpinan pusat parti masih berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi, sekali gus menambah lagi misteri di sebalik ‘gelombang keluar’ yang melanda bahagian itu.

Perkembangan ini sebagai satu isyarat awal kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam landskap politik tempatan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Persoalannya kini, adakah ini sekadar konflik dalaman biasa atau petanda kepada sesuatu yang lebih besar sedang menanti?


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama