Ketua Menteri dijadual lawat mangsa kebakaran Kampung Bahagia esok - Ketua Supol

Azrul menyifatkan kejadian berkenaan sebagai antara kebakaran terbesar pernah berlaku di Sabah apabila lebih 900 rumah dilaporkan terjejas.


SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dijadualkan turun padang melawat mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, pagi esok.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata lawatan itu bagi membolehkan Ketua Menteri melihat sendiri keadaan mangsa serta kawasan yang terjejas.

Menurutnya, kehadiran Ketua Menteri juga bagi memastikan segala bantuan dapat disalurkan dengan segera dan berkesan kepada mangsa terlibat.

“Kerajaan negeri memberi keutamaan penuh terhadap kebajikan mangsa termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, situasi di lokasi kebakaran setakat ini adalah terkawal dengan semua agensi berkaitan berada di lapangan bagi memastikan keselamatan mangsa terus terjamin.

Dalam pada itu, Azrul menyifatkan kejadian berkenaan sebagai antara kebakaran terbesar pernah berlaku di Sabah apabila lebih 900 rumah dilaporkan terjejas.

Dalam kejadian awal pagi semalam, hampir 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi di kampung berkenaan.

Insiden itu menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal selepas keseluruhan penempatan tidak kekal terbakar.

Ketua Zon 6 Sandakan, Jasri Ab Jal, dilaporkan berkata operasi pemadaman mengambil masa hampir 11 jam berikutan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit serta keadaan air laut surut.

Selain itu, struktur rumah yang rapat dan faktor angin kencang turut menyebabkan api merebak dengan cepat.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama