KOTA KINABALU: Sebanyak 13 kompaun dikeluarkan dalam Operasi Gempur Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa yang memberi tumpuan terhadap kesalahan pencemaran daripada kenderaan bermotor, khususnya motosikal, di sini.
Operasi yang bermula 4 April dan berakhir hari ini dilaksanakan sempena sambutan Hari Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15 April, dengan penglibatan 47 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JAS, Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Pengarah JAS Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, sebanyak 10 melibatkan kesalahan bunyi bising motosikal.
“Daripada 13 kompaun yang dikeluarkan, 10 adalah melibatkan bunyi bising motosikal dan satu kes berkaitan pelepasan asap hitam.
“Empat notis arahan turut dikeluarkan bagi mengarahkan pemilik kenderaan melakukan pembaikan dan pemeriksaan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media OPS Gerak Kebangsaan sempena sambutan Hari Penguatkuasa, di sini, hari ini.
Sepanjang operasi, sebanyak 118 kenderaan diesel, 25 kenderaan petrol dan 40 motosikal turut diperiksa, dengan beberapa daripadanya didapati tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Beliau berkata, antara punca utama kesalahan bunyi bising adalah pengubahsuaian sistem ekzos motosikal, manakala pelepasan asap hitam pula berpunca daripada kurang penyelenggaraan kenderaan.
“Bagi motosikal, kesalahan bunyi bising kebanyakannya berpunca daripada pengubahsuaian ekzos.
“Kita akan keluarkan kompaun dan juga notis supaya mereka mengembalikan kepada spesifikasi asal,”jelasnya.
Dalam pada itu, Polis Trafik mengeluarkan lima saman, manakala JPJ mengeluarkan 59 kompaun dan LPKP mengeluarkan dua notis terhadap kesalahan berkaitan.
“Hasil operasi sejak awal tahun, sebanyak 155 kenderaan diesel diperiksa dan 11 notis arahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,”tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika musim panas, dengan kompaun sehingga RM2,000 boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
“Bagi kes pembakaran terbuka, kompaun maksimum adalah RM2,000. Jika dibawa ke mahkamah, penalti boleh mencecah sehingga RM1 juta serta hukuman penjara,” ujar beliau.
