KOTA KINABALU: Seorang lelaki
maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit
dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Jalan Kionsom, Inanam, lewat
malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam
11.37 malam itu, mangsa yang menaiki Perodua Axia dipercayai hilang kawalan
sebelum melanggar bahagian belakang lori kontena.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat
(BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan
kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan 10 anggota bersama jentera
dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari
balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi
pada jam 11.45 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori kontena
dan kereta Perodua Axia.
“Terdapat dua mangsa tersepit di
dalam kenderaan berkenaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba
menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang mangsa
disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, seorang lagi mangsa
lelaki berusia 41 tahun yang cedera parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth
I dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
“Pemandu lori kontena berusia 33
tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi ditamatkan pada jam
12.50 tengah malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat,” katanya.
