![]() |
| IHSAN: BBP Kota Belud. |
KOTA BELUD: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi-manda di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, petang semalam.
Mangsa, Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, dilaporkan hilang sekitar jam 5.12 petang.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mengesahkan kejadian melibatkan seorang mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan di sekitar pesisir sungai dengan bantuan penduduk kampung, namun mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Operasi SAR yang melibatkan sembilan anggota bomba bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Katanya, operasi dijangka disambung semula pagi ini dengan usaha pencarian akan diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
“Perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” tambahnya.
