KENINGAU : Kolej
Vokasional (KV) Keningau mengorak langkah memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang Kosmetologi dengan pemeteraian
Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama dua peneraju industri
kecantikan.
Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, kolaborasi
ini bukan sekadar simbolik permulaan hubungan antara institusi pendidikan
dengan sektor swasta.
“Jalinan kerjasama dengan Syarikat Posh Beauty Sdn. Bhd. dan
Syarikat FokusJaya Cerah Sdn. Bhd adalah merupakan manifestasi komitmen bersama
dalam merangsang inovasi dan memperkukuh jaringan profesional antara institusi
pendidikan dengan sektor swasta.
“Melalui kerjasama ini juga, kita harap dapat memperkasakan
bidang Kosmetologi menerusi perkongsian kepakaran, sumber, dan pengalaman bagi
melahirkan graduan yang kompeten serta berdaya saing selaras dengan tuntutan
industri semasa.
"Melalui platform ini, ruang kerjasama yang lebih luas
dapat diteroka, sekali gus meningkatkan keupayaan institusi dalam menghadapi
cabaran dinamik pada masa hadapan” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan
semasa Majlis Menandatangani MoU KV Keningau Sabah bersama Syarikat Posh Beauty
Sdn. Bhd dan Syarikat FokusJaya Cerah Sdn. Bhd pada Selasa.
Beliau berharap usaha murni ini menjadi pemangkin kepada
pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat signifikan bukan sahaja kepada
pelajar dan warga KV Keningau, malah kepada pembangunan modal insan negara
secara keseluruhannya.
Lumang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
Jabatan Hubungan Industri dan Agensi (JHIA) KV Keningau serta tenaga pengajar
Unit Kosmetologi yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan inisiatif
berkenaan.
Pemeteraian MoU ini dijangka bakal memberikan impak positif
dalam melestarikan kualiti pendidikan vokasional, sekali gus memastikan graduan
yang dihasilkan memiliki kemahiran tinggi yang menepati piawaian pasaran kerja
global.
