Seorang lagi penjawat awam ditahan SPRM kes tuntutan palsu kontrak pembersihan

KOTA KINABALU: Seorang lagi penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki terbabit dalam kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM500,000.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah syarikat kontraktor dipercayai bersubahat dengan seorang lagi suspek yang ditahan sebelum ini.

“Suspek dipercayai terbabit dalam kes sama iaitu mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini berjumlah kira-kira RM500,000,” katanya.

Sumber berkata, suspek dipercayai bekerjasama dengan seorang lelaki yang juga pengarah syarikat pembinaan yang ditahan pada Isnin lalu.

Pada Isnin, media melaporkan seorang penjawat awam ditahan SPRM Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027.

“Suspek juga disyaki menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan beberapa kontrak kerja di agensi kerajaan sekitar Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaharu itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama