Program IPT perlu selari industri, elak graduan menganggur - James

 

James bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir (tengah) beserta Exco-Exco Pendidikan dari Melaka, Pahang dan Johor


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) terus memperkukuh agenda pendidikan tinggi negeri agar lebih selari dengan keperluan industri semasa.

Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kerjasama strategik antara KPSTI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat penting bagi memastikan setiap program dan latihan yang ditawarkan di politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) benar-benar menepati kehendak pasaran kerja.

“Pilihan program dan latihan yang ditawarkan tidak boleh bersifat statik. Ia perlu sentiasa disesuaikan dengan permintaan industri supaya graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena Mesyuarat Exco Pendidikan yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, KPSTI akan mengambil langkah proaktif dengan memanggil pemain industri bersama pihak politeknik serta institusi pengajian tinggi bagi menyelaras semula penawaran program latihan agar lebih relevan, dinamik dan berimpak tinggi.

“Langkah tersebut dijangka dapat memperkukuh kebolehpasaran graduan, selain memastikan pelajar mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas sebaik sahaja menamatkan pengajian, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan di Sabah,” ujar beliau.

James turut menekankan keperluan mendesak di institusi pendidikan khususnya berkaitan kemudahan asas pelajar.

“Hal ini termasuklah penggantian tilam yang telah digunakan melebihi 10 tahun serta penambahbaikan aspek kebajikan seperti penyediaan makanan yang lebih berkualiti dan mencukupi,” jelasnya. 

Bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan tinggi di negeri ini, KPSTI turut mempertingkatkan kerjasama dengan KPT dalam pelaksanaan projek-projek melibatkan IPTS. 

Setakat ini, sebanyak 21 projek telah dilaksanakan, manakala lapan lagi projek baharu sedang dalam tindakan kementerian untuk memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pewujudan laluan khas kepada pelajar luar bandar serta golongan B40 bagi meningkatkan akses mereka ke institusi pengajian tinggi.

“Cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Menteri Pendidikan Tinggi yang bersetuju agar pendekatan inklusif berkenaan dipertimbangkan bagi memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya. 

KPSTI menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negeri Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama