Isu sempadan Sebatik: Pemuda Gagasan Rakyat lapor polis tuduhan liar, fitnah terhadap Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah membuat laporan polis susulan penyebaran hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah berkaitan isu sempadan Pulau Sebatik.

Pemangku Ketua Pemuda parti itu, Datuk Azrul Ibrahim berkata, laporan dibuat di Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat serta cuba mengaitkan Ketua Menteri dengan dakwaan yang tidak berasas.

Menurutnya, hantaran tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah turut mencemarkan reputasi Ketua Menteri dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

“Kami mengambil serius penyebaran tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Menteri ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat mengikut undang-undang sedia ada.

“Sebarang kenyataan tidak berasas tidak boleh dibiarkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan, khususnya Wisma Putra agar tampil memberikan penjelasan segera bagi mengelakkan isu itu terus dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebelum ini menjelaskan bahawa laporan mendakwa 127.3 hektar Pulau Sebatik menjadi milik Indonesia adalah tidak tepat.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keluasan sebenar yang terlibat adalah kira-kira 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini menjadi wilayah Indonesia.

Beliau menjelaskan, pemuktamadan jajaran sempadan darat itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara Malaysia dan Indonesia serta selaras dengan undang-undang antarabangsa tanpa melibatkan sebarang pampasan atau pertimbangan untung rugi.

Menurutnya, penyelesaian itu turut melibatkan penjajaran semula di beberapa lokasi lain termasuk Sungai Sinapad dan Sungai Sesai yang menyaksikan Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar.

“Selain itu, hasil penjajaran semula di Pulau Sebatik juga menyaksikan Malaysia memperoleh tambahan kira-kira lima hektar wilayah yang sebelum ini berada dalam kawasan Indonesia,” katanya.

Katanya, pemuktamadan sempadan itu dimeterai melalui memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025 selepas rundingan teknikal yang berlangsung lebih 45 tahun.

Sehubungan itu, Azrul berkata, pihaknya menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang menyebarkan tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Menteri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama