SE lancar aplikasi mySE+, mudahkan bayaran dan pemantauan bil elektrik


Yaakob Jaafar ketika menunjukkan muka baharu bagi aplikasi SE, mySE+ di sini, hari ini. 


KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) melancarkan aplikasi mySE+ bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran bil serta memantau penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, kemudahan aplikasi itu sebagai sebahagian usaha SE dalam memperkukuh perkhidmatan digital serta meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga di negeri ini.

Setakat ini, SESB mempunyai lebih 700,000 akaun pengguna dengan permintaan tenaga mencecah sekitar 1,226 megawatt.

“Sebelum ini, aplikasi lama mencatat kira-kira 270,000 pengguna berdaftar.

“mySEplus yang diperkenalkan hadir dengan pelbagai penambahbaikan termasuk ciri mesra pengguna serta keupayaan membantu pelanggan memantau penggunaan elektrik dengan lebih efektif.

“Dengan fungsi yang lebih baik, kita yakin sasaran 400,000 pengguna mampu dicapai sekali gus mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama media selepas menyampaikan ucapan bagi pelancaran mySEplus di bilik mesyuarat SESB, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa penggunaan aplikasi bagi tujuan pembayaran turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah kutipan mencecah sekitar RM50 juta dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaan secara dalaman.

“Jumlah pembayaran melalui aplikasi kami kini meningkat sehingga mencecah hampir RM50 juta.

“Ini menunjukkan pengguna semakin menerima dan selesa menggunakan platform ini kerana ia memudahkan urusan mereka,” jelasnya.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan penerimaan positif dalam kalangan pengguna yang kini lebih cenderung menggunakan platform digital untuk urusan pembayaran bil elektrik.


Yakoob (dua dari kanan) mengambil gambar kenangan bersama barisan pengurusan aplikasi mySEplus, di sini. 

Aplikasi ini turut menyalurkan maklumat gangguan bekalan elektrik secara masa nyata, di mana pengguna akan menerima notifikasi segera berkaitan sebarang gangguan di kawasan masing-masing, termasuk status pemulihan serta anggaran tempoh gangguan. ‎ 

“Aplikasi ini juga dilengkapi ciri pemantauan penggunaan yang membolehkan pelanggan melihat corak penggunaan tenaga dan mengawal perbelanjaan secara lebih berkesan,” ujar beliau.

Kata beliau, aplikasi baharu itu akan menggantikan versi lama secara berperingkat, dengan tempoh peralihan sehingga hujung tahun ini bagi memastikan kelancaran penggunaan dalam kalangan pelanggan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama