KOTA KINABALU: Kerjasama antara
Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia akan memberi tumpuan kepada
penerokaan ekonomi karbon sebagai pemangkin pertumbuhan mampan di kawasan
sempadan.
Konsul Jenderal Republik
Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Noorman Effendi, berkata inisiatif itu
merangkumi pemuliharaan hutan paya bakau dan pengurusan kawasan tanah gambut
yang berpotensi menjana pendapatan melalui perdagangan karbon.
“Lawatan kerja rasmi delegasi
kerajaan negeri Sabah ke Kaltara dijadualkan minggu hadapan bagi memperincikan
projek strategik yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi kedua-dua
wilayah.
"Kerjasama ini juga dijangka
meningkatkan taraf hidup masyarakat pesisir termasuk petani dan nelayan melalui
latihan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada
media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Rumah Konsulat Jenderal
Indonesia, pada Sabtu.
Beliau berkata inisiatif itu
turut menyokong agenda antarabangsa seperti Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur
Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Menurut Noorman, kehadiran
tokoh-tokoh penting Sabah ke majlis tersebut disifatkan sebagai simbol
keakraban hubungan serumpun yang tidak boleh dipisahkan, selain memperkukuh
diplomasi budaya antara kedua-dua negara jiran.
Di samping itu, beliau juga
menekankan kepentingan warga Indonesia di Sabah memiliki dokumen yang sah.
"Kami sentiasa menggesa agar
mereka datang dengan cara yang betul dan mempunyai dokumen lengkap bagi
memudahkan pihak konsulat menyalurkan perlindungan serta bantuan sewajarnya.
"Berdasarkan rekod sehingga
kini, dianggarkan kira-kira 170,000 rakyat Indonesia yang berdaftar di Sabah.
Tambah Noorman, tenaga kerja
Indonesia kekal signifikan dalam sektor perladangan kelapa sawit di Sabah dan
menyumbang kepada aliran kiriman wang ke negara asal.
Hadir sama, Speaker Dewan
Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.
