MEMBAKUT : Kementerian Kerajaan
Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan mengadakan jelajah ke 25 majlis daerah di
seluruh Sabah bagi mendapatkan maklum balas berkaitan keperluan serta cadangan
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin
Mohd Arif berkata jelajah itu bermula minggu depan dengan lawatan ke beberapa
daerah termasuk Penampang, Putatan, Beaufort, Kuala Penyu dan Papar.
"Dalam tempoh dua minggu
pertama, lima majlis daerah akan dikunjungi sebelum jelajah diteruskan ke
Sandakan seterusnya ke Tawau.
"Keseluruhannya, terdapat 25
majlis daerah termasuk majlis perbandaran di Sabah yang akan disantuni bagi
mendapatkan taklimat secara langsung daripada pihak majlis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui media semasa Majlis Kesyukuran Aidilfitri di Kampung Pimping, pada
Sabtu.
Majlis itu turut diserikan dengan
kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan
Faridah Tussin.
Menurut Arifin, jelajah KKTP itu
akan dilaksanakan serentak dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
(JHEAINS) yang akan memperkenalkan inisiatif Tadarus Subuh.
“Tadarus Subuh akan diisi dengan
program khatam Al-Quran pada waktu subuh serta aktiviti bagi menggalakkan
amalan bertadarus sepanjang tahun.
“Setiap program dijangka
melibatkan lebih 300 peserta dan kita akan mengenal pasti lokasi sesuai di
setiap daerah untuk pelaksanaannya,” katanya.
Tambah beliau, Majlis Ugama Islam
Sabah (MUIS), JHEAINS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah turut melaksanakan
program masing-masing dengan menyantuni masjid di daerah terlibat.
“Kita juga akan menyalurkan
bantuan utiliti kepada masjid serta mengenal pasti keperluan pembaikan
melibatkan masjid dan sekolah agama.
“Selain itu, saya akan melawat
projek pembangunan sedia ada dan yang sedang dilaksanakan seperti sekolah agama
negeri, masjid serta surau,” tambahnya.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Isnin Aliasnih serta Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan
Bahadar.
