Jamawi gesa petani, nelayan siap sedia hadapi El Nino hingga Julai

Jamawi bersama isteri merakamkan gambar kenangan bersama dengan tetamu yang hadir.



TENOM: Golongan petani, penternak dan nelayan di Sabah digesa meningkatkan kesiapsiagaan susulan fenomena El Niño yang dijangka berterusan hingga Julai ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keadaan cuaca panas dan kering berpotensi memberi kesan besar kepada sektor pertanian serta industri makanan di negeri ini.

“Laporan daripada Jabatan Meteorologi Sabah menunjukkan risiko kemerosotan hasil dan kebakaran akan meningkat sepanjang tempoh tersebut.

“Dalam keadaan cuaca panas ini, saya menyeru petani, penternak, nelayan dan pemain industri makanan supaya lebih berhati-hati.

“Elakkan pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu buat masa ini kerana risikonya tinggi,” katanya ketika ditemui media di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kementeriannya sentiasa bersedia membantu golongan yang terjejas akibat fenomena berkenaan.

Katanya, mereka yang berdepan masalah boleh berhubung terus dengan pegawai pertanian di peringkat daerah untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat.

“Sekiranya perlu dibawa ke peringkat kementerian, saya sendiri bersedia meneliti keperluan mereka bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup keluarga terus terjamin,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata fenomena cuaca itu turut memberi kesan kepada bekalan baja sekali gus meningkatkan kos pengeluaran.

Menurutnya, kebergantungan kepada import termasuk dari China serta faktor global seperti konflik antarabangsa menjejaskan bekalan bahan asas baja.

“Apabila eksport bahan seperti urea dikurangkan, ia akan menyebabkan kenaikan harga di pasaran tempatan,” ujar beliau.

Katanya, Jabatan Pertanian Sabah turut melaksanakan pelbagai program latihan bagi membantu petani menghasilkan baja sendiri menggunakan sisa tumbuhan dan makanan.

“Saya akan terus turun padang bagi memberi pendidikan kepada petani termasuk melalui program khas bersama usahawan pada 12 April di Karambunai.

“Ini penting supaya hasil tanaman kekal baik walaupun berdepan cabaran cuaca ekstrem,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama