Sabah tetapkan syarat ketat cadangan Projek Cable Car Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan syarat ketat terhadap cadangan projek cable car di kawasan Gunung Kinabalu bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, setiap pembangunan perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh.

“Gunung Kinabalu ialah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi.

“Semua projek mesti mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima pembentangan cadangan projek oleh Jesselton International Sdn Bhd.

Jafry turut menegaskan pendekatan ‘conservation first’ perlu menjadi asas dalam menilai projek ini serta menjaga habitat hidupan liar dan kawasan Taman Kinabalu tidak boleh terjejas.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat contoh di luar negara yang melaksanakan cable car secara terkawal.

Menurutnya, kemudahan itu boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian jika diurus dengan baik. 

“Contoh seperti Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil menunjukkan bagaimana pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap, dengan penekanan kepada pengurusan pelawat secara terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar.

“Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kemudahan seperti ini boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan, namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,”jelasnya.

Beliau berkata, kepentingan komuniti di Kundasang dan Ranau juga perlu diberi perhatian.

Katanya, projek perlu memberi manfaat ekonomi tanpa menjejaskan budaya dan nilai tempatan.

“Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” ujar beliau.

Tambahnya, kerajaan komited menyeimbangkan pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama