Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, berkata penganjuran anugerah itu merupakan langkah awal pihaknya untuk memperluaskan usaha mempromosikan produk pelancongan daerah berkenaan, khususnya melalui kolaborasi dengan penggiat industri kreatif.
Katanya, inisiatif itu memberi pengiktirafan kepada bakat tempatan, terutama dalam penghasilan filem pendek pelancongan yang berpotensi menjadi medium promosi berkesan.
“Majlis ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi satu usaha untuk menghimpunkan penggiat industri kreatif agar bersama-sama mempromosikan produk pelancongan Keningau.
“Kita mahu pendekatan baharu yang lebih kreatif, termasuk melalui filem pendek yang mampu menarik perhatian pelancong,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, walaupun produk pelancongan di daerah itu masih di peringkat awal, usaha berterusan mampu merangsang ekonomi komuniti setempat yang terlibat secara langsung dalam sektor berkenaan.
“Sejak PKP, ramai pengusaha pelancongan terjejas, namun kini kita melihat kebangkitan semula dengan kemunculan produk baharu yang semakin mendapat perhatian,” katanya.
Beliau berharap penganjuran anugerah itu dapat dijadikan acara tahunan, sekali gus memperkukuh kedudukan Keningau sebagai destinasi pelancongan berpotensi di Sabah.

.jpeg)
