TAMBUNAN: Seorang lelaki tampil membuat laporan polis selepas mendakwa kenyataan dimuat naik pengguna Facebook, Amy Dangin, mengandungi unsur penghinaan terhadap kaum Kadazan Dusun Murut (KDM), selain menuduhnya sebagai ‘cybertrooper’ berbayar.
Joseph Madais berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Tambunan kira-kira jam 11 pagi, 2 April (semalam) susulan kenyataan individu berkenaan di media sosial.
Menurutnya, kenyataan dimuat naik itu didakwa menyentuh sensitiviti kaum apabila mengaitkan masyarakat tertentu dengan pandangan terhadap isu pendatang tanpa izin (PTI) dan individu tanpa kerakyatan.
“Saya terpanggil untuk memberi respons kerana beranggapan kenyataan itu menghina bangsa KDM.
“Dalam masa sama, saya turut dituduh sebagai cybertrooper yang dibayar oleh pihak tertentu, sedangkan saya tidak pernah menerima sebarang bayaran untuk membuat komen di media sosial,” katanya.
Joseph menegaskan, laporan polis itu dibuat sebagai penafian terhadap tuduhan berkenaan selain meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, terutama membabitkan isu sensitif berkaitan kaum.
“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi menjaga keamanan,” katanya.
