KINARUT: Insiden kemalangan
membabitkan seorang pelajar sekolah di Kinarut mencetuskan keperluan mendesak
untuk penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan
berhampiran sekolah.
Ketua Setiausaha Politik kepada
Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata kejadian itu jelas
menunjukkan perlunya tindakan segera oleh pihak berwajib bagi memastikan
keselamatan pengguna jalan raya, terutama pelajar, terus terjamin.
Beliau berkata, pihaknya telah
menziarahi mangsa, Satra binti Jerie, bersama Pengetua Cemerlang serta Yang
Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Kinarut, selepas pelajar itu terbabit dalam kemalangan di luar kawasan
sekolah, kelmarin.
“Lawatan ini bagi memberikan
sokongan moral kepada mangsa selain memastikan keadaannya stabil.
“Kita doakan beliau diberi
kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam kenyataan,
hari ini.
Mengulas lanjut, Azrul berkata
beliau sudah menghubungi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya
dan Utiliti Sabah, Datuk Joachim Gunsalam, bagi memaklumkan situasi berkenaan.
Katanya, beliau turut menggesa
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah supaya mengambil tindakan segera dalam menangani
isu kemalangan yang kerap berlaku di kawasan terbabit.
“Dalam masa sama, saya juga sudah
berhubung dengan Jurutera JKR Daerah Papar bagi memastikan langkah intervensi
dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Keselamatan pengguna jalan raya,
khususnya pelajar sekolah, perlu diberi perhatian serius dan tindakan proaktif
mesti dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau menegaskan usaha
berterusan akan digerakkan bagi memastikan isu keselamatan jalan raya di
kawasan sekolah dapat ditangani secara menyeluruh sekali gus mengelakkan
kejadian sama berulang.
