Sabah sasar lonjakan pelancong sempena Kaamatan, Mei ini

KUALA LUMPUR: Sabah menyasarkan peningkatan jumlah pelancong bagi tempoh pertengahan tahun dengan menjadikan Pesta Kaamatan sebagai tarikan utama sempena penyertaan negeri itu pada MATTA Fair di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Kaamatan merupakan antara faktor utama yang mampu menarik pelawat merancang perjalanan ke Sabah.

“Kaamatan adalah aset budaya penting yang menjadi sebab utama pelancong memilih Sabah sebagai destinasi, khususnya bagi tempoh pertengahan tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sambutan Kaamatan bukan sahaja menonjolkan keunikan budaya masyarakat tempatan, malah memberi peluang kepada pelancong untuk merasai pengalaman autentik melibatkan tradisi, makanan dan cara hidup rakyat Sabah.

Penekanan terhadap Kaamatan turut diserlahkan dengan kehadiran Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang melancarkan video jemputan Kaamatan di Pavilion Sabah. 

Dalam pada itu, Sabah optimis penyertaan aktif dalam MATTA Fair yang berlangsung sehingga 5 April mampu menukar minat pengunjung kepada tempahan sebenar, sekali gus meningkatkan ketibaan pelancong bagi musim pertengahan tahun.

Selain Kaamatan, pelbagai pakej turut ditawarkan melibatkan destinasi popular seperti Kundasang dengan pemandangan Gunung Kinabalu, Semporna untuk percutian pulau dan selaman skuba serta pengalaman alam semula jadi dan hidupan liar.

Turut dipaparkan ialah pratonton kempen Visit Sabah 2027 yang memberi gambaran hala tuju jangka panjang sektor pelancongan negeri.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bersama 37 ejen pelancongan dari negeri itu akan mengendalikan lebih 100 reruai dan menawarkan pelbagai pakej pelancongan bagi merangsang tempahan awal, khususnya menjelang musim Kaamatan pada Mei.

Terdahulu, Jafry turut melancarkan penjenamaan semula destinasi Explore Sabah bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Sambutan Kaamatan yang diraikan sepanjang bulan menampilkan pelbagai acara kebudayaan termasuk persembahan tradisional, ritual, makanan tempatan serta pertandingan Unduk Ngadau, dengan kemuncak pada 30 dan 31 Mei nanti.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama