Kerajaan Sabah pastikan bekalan elektrik kekal stabil

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Ketua Menteri Sabah bersama Media Sabah, di sini. 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan untuk memastikan bahawa bekalan elektrik di negeri ini kekal stabil ketika ini meskipun dunia sedang berdepan dengan krisis tenaga global.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai kapasiti bekalan elektrik sekitar 1,400 megawatt (MW), dengan kira-kira 1,100 MW dijana melalui sumber gas.


Menurutnya, keadaan itu meletakkan Sabah dalam kedudukan lebih selesa berbanding beberapa kawasan lain yang bergantung kepada sumber tenaga luar.


“Bekalan elektrik kita masih stabil kerana sebahagian besar dijana menggunakan gas dari Petronas terus ke Sabah, namun kita tetap memantau perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui pemberita di The Magellan Resort, di sini, pada Sabtu.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa kira-kira 300 MW lagi bergantung kepada faktor kos bahan api yang boleh terjejas sekiranya berlaku kenaikan harga minyak global.


Katanya, sebarang peningkatan kos tersebut berpotensi memberi kesan kepada operasi tenaga di negeri ini dan perlu diberi perhatian.


Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus memantau situasi semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan elektrik dan diesel kekal mencukupi dan stabil.


“Di Sabah, kita masih lagi mendapat subsidi diesel. Jadi. Itu yang meringankan bebanan kita,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama