![]() |
| Hajiji ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memaklumkan kerajaan negeri bersiap sedia memantau kemungkinan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan bekalan tenaga dunia.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bagi meneliti situasi semasa serta langkah sewajarnya yang perlu diambil.
Menurutnya, konflik tersebut berpotensi mencetuskan krisis tenaga dan ekonomi di banyak negara akibat kenaikan harga minyak serta kos barangan.
“Kita diminta memantau keadaan ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi kemungkinan kesan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya bersama media Sabah yang bertempat di The Magellan Resort, di sini, pada malam Sabtu.
Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa konflik global, walaupun berlaku di luar negara, tetap memberi kesan kepada ekonomi tempatan.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.
