Sabah Perkenal RAER 2025-2030 Pacu Ekonomi Luar Bandar, Sekuriti Makanan

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025-2030 sebagai langkah strategik mengukuhkan sekuriti makanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata inisiatif tersebut seiring usaha meningkatkan keterjaminan makanan menerusi pemodenan sektor pertanian.

"Tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi serta pembangunan bioteknologi untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran.

“Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan varieti baharu serta bahan tanaman berkualiti akan terus dipergiat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17, pada Khamis.

Menurut Tun Musa, antara program baharu di bawah RAER ialah Program Kebun Dapur yang diperkenalkan bertujuan menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kediaman.

"Ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memupuk budaya pertanian dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata ekosistem industri ternakan negeri juga akan terus diperkasa berpaksikan Dasar AgroMakanan Negara 2.0 dan Pelan Strategik Organisasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah 2026 – 2030.

"Tumpuan diberikan terhadap peningkatan kadar sara diri (SSR) ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan di seluruh negeri," ujarnya.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi keutamaan terhadap sektor perikanan berteraskan ekonomi biru.

"Kemudahan jeti di Kompleks Perikanan  SAFMA juga akan ditambah dengan matlamat untuk menampung peningkatan lebih 20 peratus hasil pendaratan ikan di negeri ini.

''Pelbagai program pembangunan dan sokongan termasuk pemerkasaan fasiliti jabatan, pengukuhan industri hiliran serta aktiviti konservasi akan dilaksanakan bagi menjamin pengeluaran hasil perikanan yang mampan," katanya.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah dan ahli kabinet kerajaan negeri.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama