KOTA KINABALU: Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Games 2026
secara rasmi membuka tirai dengan penyertaan 17 kontinjen dari seluruh negara,
melibatkan lebih 400 atlet dan pegawai dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr.
Safar Untong berkata program seperti ini menjadi platform terbaik untuk
memperkukuhkan silaturahim di luar waktu pejabat serta menyemarakkan semangat
perpaduan dalam kalangan penjawat awam.
“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah
membuka ruang kepada peserta untuk menonjolkan bakat serta mengamalkan semangat
kesukanan yang tinggi.
“Semangat kesukanan dan sikap saling menghormati perlu terus
dipelihara, kerana kemenangan sebenar adalah keharmonian yang terjalin
sepanjang kejohanan ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam
(Welcome Dinner) sempena Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Games 2026.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Zainudin Aman, Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK
Sabah.
Majlis Makan Malam (Welcome Dinner) sempena Kejohanan
tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah menjadi platform
mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen, sekali gus mengeratkan silaturahim
dan memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan penjawat awam melalui
interaksi santai antara peserta pelbagai negeri.
Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Games 2026 dijangka
berlangsung selama empat hari di Dewan Seri Putatan daripada 23 hingga 26 April ini dengan harapan terus
menjadi wadah dalam memperkukuh perpaduan serta semangat berpasukan dalam
kalangan penjawat awam di negara ini.
"Para peserta diseru untuk menikmati dan merasai
sendiri keunikan dan budaya serta
hospitaliti di negeri Sabah sekali gus menjadikan pengalaman tersebut sebagai
kenangan bermakna."tambahnya.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri
Sabah merangkap Naib Yang Dipertua Kebajikan MAKSAK Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd
Yusof dan Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia Encik Noor Hisham Affizam
Shamsuddin.
