![]() |
| Foto: Jabatan Penerangan Sabah |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, langkah itu diambil sebagai strategi jangka sederhana dan panjang bagi memastikan bekalan makanan negeri kekal stabil.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) berhubung langkah segera kerajaan negeri melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak global.
“Lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi memperkukuh pengeluaran makanan tempatan.
“Fokus kita adalah meningkatkan hasil pertanian, ternakan dan perikanan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan bekalan mencukupi,” katanya di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, krisis tenaga global akibat konflik antarabangsa memberi kesan rantaian termasuk peningkatan kos logistik, operasi dan harga barangan.
Katanya, antara projek utama ialah Pusat Ternakan Bersepadu Keningau bagi pengeluaran daging tempatan serta pembangunan industri tenusu di Sook.
Dalam masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri turut menyokong langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi mengawal kenaikan harga barang.
“Kerajaan negeri juga konsisten menekankan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah kerana ia kritikal untuk mengawal kos pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), lebih RM102 juta diperuntukkan bagi projek keterjaminan makanan sebagai usaha memperkukuh tahap sara diri (SSL) negeri.
Selain itu, katanya, aspek logistik turut diperkasa termasuk pembesaran Pelabuhan Sepanggar bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan menurunkan kos penghantaran.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur serta penggunaan produk tempatan bagi membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan harian.
“Pendekatan menyeluruh ini penting untuk memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan kos sara hidup dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
