SEMPORNA: Cubaan penyeludup membawa masuk lebih 100,000 batang rokok tidak kesampaian apabila kegiatan mereka berjaya dipatahkan dalam operasi di perairan Tanjung Sironggol, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, suspek bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan air cetek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Menurutnya, operasi dijalankan menggunakan Bot Cenderawasih 09 dalam Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur serta Op Tiris 4.0 (Bersepadu).
“Pasukan operasi mengesan dua bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan pada jarak kira-kira 0.5 dan 0.6 batu nautika di tenggara Tanjung Sironggol.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek terus terjun ke laut sebelum melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan tujuh kotak berisi rokok seludup pelbagai jenama.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM69,800 termasuk dua bot serta enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan di perairan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
