![]() |
| Foto: Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meningkatkan jumlah penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) kepada 140,000 orang dengan peruntukan keseluruhan RM339.16 juta bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penambahan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Program SYUKUR menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan dan sebelum ini memanfaatkan 100,000 penerima.
“Kerajaan negeri bersetuju menambah jumlah penerima kepada 140,000 orang dengan peningkatan peruntukan kepada RM339.16 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) berhubung langkah segera kerajaan negeri menangani tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak global.
Menurutnya, bantuan itu dilaksanakan secara bersasar dan selari dengan inisiatif kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, langkah berkenaan penting bagi membantu rakyat menghadapi kesan rantaian krisis tenaga global yang menyebabkan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan.
Dalam masa sama, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk menggalakkan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur serta penggunaan produk tempatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, malah meningkatkan daya tahan rakyat terhadap sebarang kejutan harga,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan ekonomi semasa dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
