Sabah perkasa agenda digital, JPKN kini Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi

James ketika berucap pada Majlis pelancaran jenama baharu JPKN, di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuhkan agenda transformasi digital dengan menjenamakan semula Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) sebagai Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penjenamaan semula itu diumumkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan jabatan berkenaan. 

Katanya, perubahan tersebut mencerminkan peranan baharu jabatan sebagai peneraju utama transformasi digital serta pemangkin inovasi teknologi di negeri ini.

“Usaha berterusan ini telah membantu memperkukuhkan kecekapan pentadbiran kerajaan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong pelbagai agenda pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan majlis pelancaran nama baharu jabatan tersebut turut dihadiri Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah, Ernywati Dewi Abas, serta wakil SabahNet dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC). 

Dalam pada itu, James berkata dunia kini sedang bergerak pantas ke arah ekonomi digital dan masyarakat berasaskan data. 

“Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pemacu utama transformasi digital.

“Seiring aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, teknologi digital dan inovasi dikenal pasti sebagai antara enjin utama pembangunan negeri, merangkumi sektor ekonomi digital, pendidikan, perkhidmatan awam, industri kreatif serta pembangunan masyarakat,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan terdahulu yang menyaksikan pelbagai pencapaian dalam pembangunan teknologi maklumat kerajaan negeri.

“Dengan pengalaman dan legasi kukuh selama 50 tahun, saya yakin jabatan ini mampu terus memacu perubahan lebih besar demi manfaat rakyat Sabah,”tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama