KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki menegaskan kepentingan nilai agama sebagai benteng utama dalam memastikan institusi keluarga kekal utuh.
Beliau berkata, perkara itu susulan kes tular membabitkan seorang bapa yang dihukum penjara sehingga 165 tahun, yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, kejadian berkenaan mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan nilai dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun tindakan terhadap pesalah telah diserahkan kepada pihak mahkamah, usaha pencegahan perlu diberi perhatian serius melalui pembentukan sahsiah dan kesedaran masyarakat.
“Institusi keagamaan mempunyai peranan penting dalam membimbing masyarakat, khususnya ketua keluarga, untuk memahami tanggungjawab serta nilai yang perlu dipegang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Raya Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KKWR), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Julita berkata cabaran dunia digital tanpa sempadan ketika ini turut meningkatkan risiko pendedahan kepada pengaruh negatif sekiranya masyarakat tidak berpegang kepada nilai kukuh.
“Persoalannya, di mana sempadan kita? Hakikatnya, sempadan itu perlu ditentukan oleh diri sendiri dan di sinilah nilai agama memainkan peranan penting sebagai panduan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan warga kementerian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efektif.
Katanya, kementerian yang diterajui merangkumi pelbagai sektor termasuk wanita, kesihatan dan kebajikan, sekali gus menuntut setiap pegawai sentiasa menambah ilmu serta menyesuaikan diri dengan cabaran baharu.
“Untuk mencapai sasaran sebagai satu pasukan, kita perlu sentiasa belajar dan meningkatkan keupayaan agar lebih efektif dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan susulan cuaca panas ketika ini dengan memastikan pengambilan air mencukupi serta mengelakkan aktiviti luar pada waktu tengah hari.
“Jika ingin melakukan aktiviti luar atau bersukan, lakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengelakkan risiko dehidrasi,” katanya.
