KUDAT: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai mengangkut empat tong drum berisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan di Pulau Banggi, di sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, suspek ditahan di jalan utama Karakit – Batu Layar ketika memandu kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab berwarna putih yang membawa empat tong drum berisi diesel dianggarkan sebanyak 800 liter.
Tangkapan dibuat dalam Operasi Bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan oleh anggota KPDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia(PDRM) melalui Pasukan Polis Marin Wilayah Empat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat.
“Hasil operasi tersebut telah membawa kepada satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan KPDN Kudat, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara lebih agresif, terutama di kawasan Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan barang kawalan kerana ia memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Operasi berkenaan turut merupakan sebahagian daripada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang digerakkan kerajaan bagi mengekang ketirisan barang kawalan di pasaran,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan.
%20(3).png)