KOTA KINABALU: Sabah mencatat kedudukan sebagai negeri karbon negatif (net sink) hasil pelaksanaan inisiatif perubahan iklim yang diselaras melalui Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, pencapaian itu diperoleh berdasarkan Laporan Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Sabah 2024, yang merupakan laporan subnasional pertama seumpamanya di Malaysia.
“Dapatan ini memberikan pemahaman menyeluruh mengenai tahap pelepasan karbon merentasi pelbagai sektor ekonomi, sekali gus mengesahkan bahawa Sabah berada pada kedudukan karbon negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
Menurutnya, sejak penubuhannya, SCAC telah bersidang sebanyak enam kali dan melaksanakan beberapa kajian penting termasuk penilaian kerentanan terhadap risiko perubahan iklim.
Beliau berkata, susulan dapatan tersebut, kerajaan negeri telah menggubal dan meluluskan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus iklim negeri.
“Kerajaan juga akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) bagi menyelia penguatkuasaan enakmen serta mengawal selia aktiviti karbon di negeri ini,” jelasnya.
Kata beliau, SCAC berperanan menyelaras pelaksanaan projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim selain menjadi pusat rujukan utama kerajaan negeri dalam agenda tersebut.
Tambah Mandela, kerajaan negeri kini sedang membangunkan pelan tindakan mitigasi dan adaptasi iklim dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi memastikan Sabah lebih bersedia menghadapi impak perubahan iklim.
“Usaha ini turut melibatkan pengukuhan kapasiti agensi dalam pengumpulan data GHG bagi memastikan pelaporan mematuhi piawaian antarabangsa termasuk di bawah United Nations Framework Convention On Climate Change (UNFCCC) dan Perjanjian Paris,” ujarnya.
Beliau menegaskan, langkah berterusan itu penting bagi memastikan Sabah bukan sahaja mengekalkan kedudukan sebagai negeri karbon negatif, malah terus memainkan peranan signifikan dalam agenda perubahan iklim negara dan global.
