KOTA KINABALU: Kerajaan meluluskan projek berskala besar bernilai RM200 juta bagi menggantikan paip usang serta menaik taraf sistem bekalan air di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata, projek di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 itu akan melibatkan kerja penggantian paip lama serta penaiktarafan paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
“Projek ini melibatkan kerja penggantian paip usang serta penaiktarafan paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, termasuk kawasan Likas.
“Pelaksanaan dijangka bermula pada suku keempat 2027 selepas melalui peringkat makmal pengurusan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Likas, Tham Yun Fook pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, selain projek berimpak tinggi itu, Jabatan Air Sabah turut melaksanakan beberapa inisiatif jangka pendek termasuk projek penggantian paip jenis Asbestos Cement (AC) bagi mengurangkan gangguan bekalan air.
“Program Menaiktaraf dan Penggantian Paip Jenis Asbestos Cement (AC) Pelbagai Saiz di Daerah Kota Kinabalu kini dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 7.03%.
“Projek ini dianggarkan bernilai RM28 juta dan dijadualkan siap pada 4 Februari 2027, bertujuan menggantikan paip lama serta meningkatkan kecekapan sistem agihan bekalan air,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan turut melaksanakan kontrak penyelenggaraan paip selama tiga tahun bagi membolehkan tindakan pembaikan segera dilakukan terhadap paip yang rosak atau bocor.
Katanya, pelaksanaan keseluruhan inisiatif itu dijangka meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air sekali gus mengurangkan kekerapan gangguan dalam jangka masa sederhana dan panjang.
