Sabah FC terima RM700,000 daripada Kerajaan Sabah selepas muncul juara Piala MFL Challenge Cup 2026

KOTA KINABALU: Kejayaan Sabah FC menjulang trofi MFL Challenge Cup 2026 bukan saja mengubat rindu penyokong, malah disusuli ‘durian runtuh’ keseluruhan RM700,000 sebagai ganjaran atas pencapaian cemerlang itu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata jumlah berkenaan merangkumi bonus RM500,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri Sabah serta tambahan insentif RM200,000 daripada kementeriannya.

Menurutnya, ganjaran itu adalah simbol penghargaan terhadap komitmen tinggi dipamerkan pasukan Sang Badak yang berjuang habis-habisan sehingga muncul juara selepas menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Likas.

“Ini bukan sekadar kemenangan biasa, tetapi satu detik kebangkitan bola sepak Sabah selepas penantian panjang untuk kembali menjulang trofi domestik.

“Ia juga bukti jelas bahawa usaha berterusan dalam pembangunan sukan di negeri ini mula membuahkan hasil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlawanan akhir itu berlangsung dalam suasana penuh debaran dengan kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin tinggi, ketahanan mental serta semangat juang luar biasa sehingga penentuan terpaksa dibuat melalui sepakan penalti.

Dalam pada itu, katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, turut menyampaikan ucapan tahniah dan menyifatkan kejayaan itu sebagai kebanggaan seluruh rakyat negeri.

“Nada yang sama turut dizahirkan oleh penyokong yang membanjiri Stadium Likas dan sokongan padu mereka jelas membantu pasukan di saat-saat genting,” katanya.

Katanya, insentif kewangan yang disalurkan diharap mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus mengekalkan prestasi terbaik serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Kita mahu kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak Sabah secara menyeluruh, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan ini secara serius.

“Kerajaan negeri melalui kementerian ini akan terus komited memperkasa pembangunan sukan dan melahirkan lebih ramai bakat berpotensi dari Sabah,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus mengangkat semula reputasi Sabah FC sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam kancah bola sepak tempatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama