MFL hulur RM20,000 bantu mangsa kebakaran di Sandakan

KOTA KINABALU: Sumbangan berjumlah RM20,000 yang disalurkan Malaysian Football League (MFL) kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Batu Sapi, Sandakan disifatkan sebagai langkah prihatin dalam membantu meringankan beban kira-kira 8,000 penduduk yang terjejas.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif itu mencerminkan keprihatinan badan sukan terhadap nasib masyarakat yang berdepan musibah.

Beliau berkata, sumbangan tersebut bukan sahaja memberi bantuan dari segi kewangan, malah turut menyuntik semangat kepada mangsa untuk terus tabah menghadapi ujian.

“Kerajaan negeri amat menghargai usaha MFL yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran. Ini adalah contoh terbaik bagaimana sektor sukan turut memainkan peranan dalam membantu komuniti ketika ditimpa bencana.

“Kita berharap sumbangan ini dapat digunakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan segera mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan mock cheque sebelum sepak mula Perlawanan Akhir MFL Challenge Cup di Stadium Likas, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Nizam berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan mangsa terlibat dan memastikan bantuan yang sewajarnya disalurkan dari semasa ke semasa.

Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta amat penting dalam memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.

“Kita menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa yang kini sedang melalui detik sukar,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama