KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyerahkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kepada kerajaan negeri Sabah sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur asas di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyerahan itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat diselaras dengan lebih cekap dan menyeluruh di peringkat negeri.
Menurutnya, langkah tersebut turut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Sabah dalam agenda pembangunan rakyat.
“Penyerahan ini dibuat agar pelaksanaan projek bekalan air luar bandar dapat berjalan dengan lebih lancar dan memberi impak terus kepada rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjung hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di kediaman rasmi Sri Gaya, di sini, malam tadi.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyerahkan nota rasmi penyerahan pelaksanaan Projek BALB kepada kerajaan negeri Sabah.
Ahmad Zahid berkata, penyelarasan antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan, khususnya melibatkan keperluan asas rakyat di luar bandar, dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
