![]() |
Jamawi (dua dari kanan) menyampaikan anak ayam penelur kepada peserta kursus sambil disaksikan oleh Ketua Seksyen Pembangunan Komoditi, Kennedy Juani (tengah) |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijangka melancarkan aplikasi digital “Kebun Dapur App” pada bulan Mei sebagai langkah memperkukuh sistem pemasaran hasil pertanian dan ternakan di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar berkata, pembangunan aplikasi tersebut merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam memperkasa ekosistem pengeluaran makanan di peringkat komuniti.
“Melalui aplikasi ini, kita boleh tahu di Kundasang berapa banyak sayur kobis tersedia pada hari ini, atau berapa bekalan ikan tilapia di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kursus ternakan ayam penelur di Kampung Karambunai Baru, hari ini.
Beliau berkata, aplikasi itu turut menghubungkan pengeluar dengan pembeli secara terus bagi memudahkan urusan tempahan dan perancangan bekalan.
“Petani boleh maklumkan lebih awal, contohnya mereka akan keluarkan 100 kilogram bendi pada tarikh tertentu, dan pembeli boleh terus membuat tempahan melalui aplikasi,” jelasnya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan selain mengurangkan pembaziran hasil pertanian.
Jamawi berkata aplikasi itu juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang sering menekan harga di peringkat pengeluar.
“Kadang-kadang orang tengah membeli hasil dengan harga rendah di kampung tetapi menjual dengan harga tinggi di bandar. Ini tidak adil kepada petani yang bertungkus-lumus menghasilkan produk,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau yakin penggunaan aplikasi berkenaan dapat meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui sistem pasaran yang lebih telus.
Jamawi menambah bahawa inisiatif Kebun Dapur turut memberi penekanan kepada pengeluaran makanan secara sara diri bagi membantu masyarakat mengurangkan kos sara hidup.
“Kalau ada sumber makanan sendiri di rumah, tidak timbul lagi rungutan harga ayam, ikan atau sayur yang mahal,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri terus mempergiat latihan serta bimbingan kepada komuniti melalui program tersebut, termasuk pelaksanaan kursus secara praktikal di lapangan.
“Kita tidak buat program di hotel, tetapi terus di lapangan supaya peserta dapat melihat sendiri dan memahami cara pelaksanaan,” tambahnya.
Beliau berharap agar lebih ramai golongan muda akan mengambil peluang menceburi sektor pertanian dan penternakan dengan sokongan teknologi baharu.
“Dengan sokongan teknologi seperti aplikasi Kebun Dapur, kita yakin industri ini akan berkembang dan memberi pendapatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.
