Pantau penjualan minyak bersubsidi elak penyelewangan bahan api

 

KUDAT : Penjualan minyak bersubsidi di kawasan sempadan perlu dipantau bagi mengelakkan penyelewengan bahan api oleh pihak yang tidak layak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan komited memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui pemberian subsidi bagi mengawal harga petrol dan diesel agar tidak membebankan rakyat. 

"Namun begitu, wujud aktiviti penyeludupan dan ketirisan yang menjejaskan usaha ini. Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah mengarahkan penguatkuasaan dipertingkatkan termasuk melibatkan pihak polis dalam pemantauan stesen minyak di kawasan sempadan.

"Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penggunaan teknologi pengawasan moden seperti radar bagi mempertingkat keberkesanan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

“Antara kejayaan operasi bersepadu termasuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Bagang, Kota Marudu, menggagalkan penyeludupan 800 liter diesel di Pulau Banggi serta pelaksanaan pemantauan penjualan minyak bagi mengekang ketirisan subsidi.

"Hasil pemantauan mendapati penurunan jualan RON95 sebanyak kira-kira 20 peratus, manakala jualan RON97 meningkat menunjukkan berlakunya penyelewengan penggunaan bahan api bersubsidi oleh pihak yang tidak layak.

"Selain itu, program penjualan minyak bersubsidi di kawasan pedalaman turut dipantau bagi memastikan bekalan hanya dinikmati oleh golongan sasaran dan tidak diseleweng," katanya kepada media ketika mengetuai tinjauan Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Sempadan Negara di perairan utara Sabah di Remote Sensor Site (RSS), Balambangan, pada khamis.

Saifuddin menjelaskan tinjauan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri  kawasan yang dikenali sebagai 'laluan tikus' di sempadan Malaysia-Filipina, yang merupakan hotspot aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan kegiatan lain yang menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

"Hari ini saya sendiri mengetuai tinjauan Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Sempadan Negara yang dilaksanakan di perairan utara Sabah.

“Pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan strategi yang dirangka di peringkat kementerian dan agensi penguatkuasa benar-benar dilaksanakan dengan berkesan di lapangan," jelasnya.

Mengulas mengenai RSS, beliau berkata RSS Balambangan merupakan komponen penting dalam sistem pengawasan APMM di Sabah, kemudahan itu berfungsi sebagai radar pemantauan yang menjadi 'mata dan telinga' pasukan penguatkuasa di perairan negara.

"Keupayaan radar ini membolehkan pengesanan sehingga 70 peratus sasaran mencurigakan dengan kira-kira 6,000 kontak setahun. Sejak 2015, RSS Balambangan telah merekodkan lebih 152,000 pengesanan dan menyumbang kepada 260 tangkapan.

"Operasi ini menekankan kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi, penggunaan teknologi pengawasan moden seperti radar membolehkan maklumat dikongsi secara efektif sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan antara kejayaan terkini termasuk penahanan 21 warga Filipina, penahanan tujuh vesel nelayan asing dan pengesanan penyeludupan haiwan dan barangan kawalan," ujarnya.

Beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan terhadap peningkatan aset dan infrastruktur bagi memperkukuh operasi bagi memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan sentiasa berada pada tahap optimum dalam menghadapi ancaman semasa.

"Antaranya pembinaan semula pejabat Zon Maritim Kudat bernilai RM73.5 juta, perolehan pontun bagi penambatan bot sebanyak RM1 juta serta perancangan pembinaan RSS baharu di Pulau Malawali bernilai RM88 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

"Selain itu, sebanyak 10 bot pantas turut diluluskan bagi meningkatkan keupayaan operasi di kawasan berkenaan," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim, Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah, Pemangku Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Fisol Salleh, Komander ESSCOM Datuk Victor B. Sanjos dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama