![]() |
| Zulkarnain Mahdar. |
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan telus berhubung pelarasan sempadan Malaysia–Indonesia yang melibatkan kawasan di Pulau Sebatik, susulan satu kenyataan media berkenaan isu tersebut tular, kelmarin.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, rakyat Sabah kini gusar dan mempersoalkan perkembangan berkaitan kawasan seluas 127.3 hektar yang dilaporkan disahkan berada dalam wilayah Indonesia.
Menurut beliau, kegagalan memberikan penjelasan jelas hanya akan membuka ruang kepada spekulasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Isu ini bukan sekadar perkara teknikal, tetapi menyentuh secara langsung soal kedaulatan negara, kepentingan Sabah serta hak rakyat tempatan yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan keluasan kawasan yang ketara apabila Malaysia dilaporkan hanya menerima sekitar 4.9 hektar sebagai pertukaran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan rundingan yang dicapai.
“Situasi ini menimbulkan persoalan berkaitan ketelusan proses rundingan, kedudukan kepentingan negara dalam perbincangan dua hala serta tahap perlindungan terhadap hak wilayah Malaysia, khususnya di Sabah,” jelasnya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan menyeluruh termasuk asas rundingan, pendedahan garis sempadan baharu, penglibatan Kerajaan Negeri Sabah serta implikasi sebenar terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.
Tambahnya, sebarang rundingan melibatkan sempadan negara perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian dan mengutamakan kepentingan nasional.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar, dan kerajaan wajib menjawab dengan jujur serta bertanggungjawab,” ujar beliau.
Terdahulu, satu kenyataan tular dari Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari memaklumkan kawasan berkenaan sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, namun kini secara rasmi menjadi milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat dimuktamadkan.
