Produk Sabah tembusi pasaran global, nilai jualan cecah RM95.9 juta


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkasa usahawan tempatan dengan pelbagai inisiatif sehingga berjaya meningkatkan kebolehpasaran produk Sabah ke peringkat antarabangsa, termasuk mencatat nilai potensi jualan mencecah RM95.9 juta.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone Kurum berkata, pencapaian itu direkodkan menerusi penyertaan 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa sepanjang tahun 2025.

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keupayaan produk Sabah bersaing di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurutnya, bagi tahun 2026, kementerian akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa dengan menyertai 13 ekspo perdagangan utama termasuk di Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti usahawan tempatan melalui pelbagai program, termasuk bantuan mesin dan peralatan yang telah memanfaatkan seramai 5,879 usahawan setakat 2025.

Menurutnya, Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS) berjaya membantu 250 usahawan meningkatkan kualiti produk terutama dari segi pembungkusan dan pematuhan piawaian pasaran.

“Kerajaan juga memperluas peluang pasaran domestik melalui kerjasama strategik dengan pasaraya tempatan serta rangkaian pasar raya di Semenanjung bagi memastikan produk Sabah lebih mudah diakses pengguna,” jelasnya.

Beliau menambah, pelbagai inisiatif termasuk program pensijilan halal, latihan keusahawanan dan pemasaran digital turut dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan.

“Kementerian saya melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) juga telah melaksanakan program Pensijilan Halal dan MeSTI bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk membantu usahawan PMKS mendapatkan pensijilan Halal dan MeSTI.

“Kementerian saya melalui DIDR turut melaksanakan program pemasaran produk IKS Sabah (secara Fast-Track) melalui kolaborasi bersama pasaraya tempatan seperti Pasaraya Bataras.

“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran usahawan tempatan, seterusnya memperkukuh kedudukan produk Sabah di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama