TAWAU: Seorang wanita tempatan ditahan polis selepas disyaki menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan dalam kejadian di Taman Semarak, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat ibu mangsa selepas wanita itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya.
Menurutnya, rakaman berkenaan menunjukkan perlakuan mencurigakan suspek terhadap kanak-kanak terbabit ketika berada di bawah jagaannya.
“Suspek merupakan individu yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dan diupah sebagai penjaga dengan bayaran RM450 sebulan sejak kira-kira setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek.
“Wanita tempatan berusia 57 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.45 petang di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar.
"Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak," katanya.
Jasmin berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya peka terhadap keselamatan kanak-kanak serta segera melaporkan sebarang kejadian penganiayaan kepada pihak polis.
