![]() |
| Pihak KPDN turut merampas sebuah kenderaan Isuzu Trooper, pam elektrik jenama PIUSI, hos getah bersaiz 1.5 inci serta beberapa dokumen dan resit pembayaran. |
KOTA KINABALU: Sebanyak 250 liter diesel bersubsidi berjaya dirampas selepas taktik licik sindiket yang menggunakan kenderaan dengan tangki rahsia terbongkar dalam satu operasi khas di Penampang, baru-baru ini.
Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah pada 10 April lalu itu berjaya menumpaskan kegiatan berkenaan hasil risikan dan pemantauan rapi.Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi diesel di sebuah stesen minyak.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mengisi diesel melebihi had dibenarkan ke dalam tangki tambahan yang disembunyikan dalam kenderaan itu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah tangki jenis IBC berkapasiti 1,000 yang dipercayai untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan Isuzu Trooper, pam elektrik jenama PIUSI, hos getah bersaiz 1.5 inci serta beberapa dokumen termasuk resit pembelian.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,897.35,” katanya.
Shahril berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar peraturan Ops Tiris 4.0 serta arahan kawalan penjualan diesel yang berkuat kuasa sejak 1 April lalu di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, peraturan itu menetapkan had pembelian diesel antara 50 hingga 150 liter bagi setiap transaksi mengikut kategori kenderaan.
“Langkah ini bagi memastikan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk sindiket penyeludupan dan sektor industri yang tidak layak,” katanya.
Katanya, suspek bersama pengusaha stesen minyak yang terbabit kini dalam siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan itu.
