![]() |
| Keluarga Allahyarhamah Amierah Aqeela Arbin ketika ditemui, di sini. |
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ts Dr. Norinsan Kamil Othman ketika menziarahi keluarga Allahyarhamah.
Menurut Dr. Norinsan, bantuan tersebut merangkumi takaful perlindungan kematian bernilai RM15,000 dan khairat kematian sebanyak RM3,000 yang disalurkan melalui Unit Kebajikan dan Penajaan, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM).
“Pemberian sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan dan solidariti UKM dalam membantu keluarga pelajar yang terkesan.
“Kejadian ini amat menyentuh hati seluruh komuniti UKM dan diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam saat penuh kesedihan, nilai kebersamaan dan keprihatinan perlu terus diperkukuh sebagai asas kepada ekosistem pendidikan tinggi yang berteraskan kemanusiaan.
Katanya, pemergian Allahyarhamah bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga universiti.
“Seluruh warga UKM mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, selain keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya.
Allahyarhamah merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dalam pengkhususan Geografi di Fakulti Pendidikan UKM.
Ketika kejadian, beliau sedang menjalani latihan perguruan (praktikum) di daerah ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.16 tengah hari itu, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
