![]() |
| Siti Ayu (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada Walter. |
KOTA KINABALU: PETRONAS menyalurkan sumbangan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terjejas akibat kejadian itu.
Sumbangan tersebut berupa pek bantuan yang mengandungi keperluan asas seperti air minuman, selimut, tuala mandi, barangan mandian, tuala wanita, peralatan dapur, tisu basah bayi serta beg sampah.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, pek bantuan yang diagihkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merupakan sebahagian daripada usaha bantuan bencana yang diselaraskan oleh agensi kerajaan, susulan kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
“PETRONAS komited untuk terus membantu komuniti yang terkesan dengan bencana melalui kerjasama rapat bersama agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sumbangan itu diserahkan oleh Siti kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri merangkap Setiausaha JPBN, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari di depot Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, pada Khamis.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga yang terkesan.
“PETRONAS akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Terdahulu, satu penyerahan simbolik turut diadakan bersama Presiden MPS, Datuk Walter Kenson yang disaksikan Timbalan Pengarah Operasi JPKA, Asnah Kasim.
Tahun lalu, PETRONAS telah menyumbang kira-kira RM1.1 juta bagi menyokong usaha bantuan bencana di seluruh Sabah, manakala setakat tahun ini sebanyak RM398,000 telah disalurkan untuk inisiatif sama.
