![]() |
| Delegasi UoK Jepun bersama pensyarah Program Pemakanan UMS bergambar kenangan di hadapan FSMP UMS, memakai pakaian tradisional Malaysia semasa majlis penutupan. |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan sebagai hab pemakanan bertaraf antarabangsa apabila menjadi tuan rumah kepada program pertukaran pelajar melibatkan University of Kochi (UoK), Jepun, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan selama lima hari itu menjadi titik mula kepada kerjasama akademik dua hala antara kedua-dua institusi, susulan perancangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pemakanan.
Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperluas jaringan antarabangsa, khususnya dalam bidang pemakanan.
“Program ini bukan sekadar lawatan akademik, tetapi langkah awal ke arah kerjasama lebih menyeluruh antara UMS dan University of Kochi. Kita melihat potensi besar untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik kedua-dua institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang program, delegasi UoK didedahkan kepada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, termasuk lawatan ke Pusat Informasi Pemakanan Penampang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Pusat Dialisis Hospital Universiti Malaysia Sabah.
Dalam pada itu, mereka turut menyertai sesi pendidikan pemakanan, demonstrasi masakan tempatan dari sudut antropologi makanan serta perkongsian penyelidikan bersama pelajar dan pensyarah UMS.
Sementara itu, Ketua Program Pemakanan, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir memaklumkan, program seumpama itu selari dengan aspirasi universiti untuk muncul sebagai rujukan utama dalam bidang pemakanan di peringkat global.
“Kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan berterusan yang menghubungkan komuniti akademik Malaysia dan Jepun. Kerjasama ini mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu pemakanan secara lebih menyeluruh,” ujar beliau.
Kejayaan penganjuran program itu turut disokong oleh pensyarah Program Pemakanan FSMP iaitu Dr. Khor Ban Hock, Dr. Yasmin Ooi Beng Houi dan Dr. Oliver Dean John, selain Dr. Ahmad Hazim Abdul Aziz selaku Penyelaras Mobiliti yang memastikan kelancaran program.
Penganjuran International Exchange Program UMS-UoK 2026 bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik Malaysia–Jepun, malah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa bidang pemakanan melalui kolaborasi antarabangsa.
