![]() |
| Agihan bantuan kewangan berjumlah RM500 dan bakul makanan yang diserahkan oleh Kasim (empat dari kanan) kepada pelajar yang telibat, Suhana (tiga dari kiri) dan Qazreena (empat dari kiri) |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan bantuan segera kepada empat pelajarnya yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, sebagai langkah memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Menerusi Program Menyantuni Pelajar Mangsa Kebakaran anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), setiap pelajar menerima sumbangan kewangan sebanyak RM500 selain bakul makanan bagi membantu memenuhi keperluan asas.
Pelajar terlibat ialah Putri Qazreena Abdul Aziz dan Abdul Fadzri Abdul Zaki dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Suhana Abdul Han dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Nur Azrina Aina Arif dari Fakulti Perhutanan Tropika.
Naib Canselor UMS, Kasim Hj. Mansor berkata, universiti komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
“UMS akan terus bertindak proaktif dengan menyediakan bantuan segera serta sokongan berterusan kepada pelajar yang terjejas supaya mereka dapat meneruskan pengajian tanpa gangguan,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan di Pusat Komunikasi Korporat UMS, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan program tersebut bukan sahaja memberi bantuan fizikal, malah berperanan sebagai sokongan moral dan emosi kepada pelajar, di samping membolehkan universiti mengenal pasti keperluan tambahan untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Suhana berkongsi detik cemas apabila kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah keluarganya hanya disedari selepas dimaklumkan rakan sebilik sekitar sejam kemudian.
“Saya terus menghubungi bapa di kampung dan dimaklumkan rumah kami musnah sepenuhnya, namun saya bersyukur semua selamat termasuk dokumen penting,” jelasnya.
Qazreena pula berkata beliau segera pulang ke Sandakan bagi bersama keluarga yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.
“Saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.
“Sokongan moral rakan-rakan dan bantuan yang diberikan banyak membantu saya untuk kekal kuat dan fokus kepada pengajian,” ujarnya.
Program itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pengurusan universiti dan pelajar melalui pendekatan menyantuni, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menjaga kebajikan warganya.
