Batik motif tradisional Sabah berpotensi tembusi pasaran lebih tinggi - Armizan

Armizan(kiri) ketika dikunjungi Ewon (kanan) bagi menjalin kerjasama antara KPDN dan MINDET, di sini, pada Jumaat. 


PUTRAJAYA: Usaha mengangkat batik bermotif tradisional Sabah ke peringkat lebih tinggi menjadi antara fokus dalam kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan (MINDET) Sabah.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, batik Sabah berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai sebahagian daripada identiti negeri serta pemangkin ekonomi kreatif tempatan.

“Saya nyatakan hasrat untuk melihat batik bermotif tradisional Sabah diperkenalkan dengan lebih meluas sebagai usaha mengangkat warisan tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Kebetulan pagi ini saya sendiri mengenakan batik motif Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, usaha memperkasa harta intelek, termasuk dalam produk warisan seperti batik, boleh membuka ruang kepada perlindungan jenama dan reka bentuk, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.

“Mudah-mudahan khazanah budaya ini terus diperkasa bukan sahaja menjadi sebahagian daripada kekuatan identiti negeri malahan menjadi pemangkin kepada ekonomi kreatif tempatan,” jelasnya.

Pertemuan itu turut membincangkan kerjasama strategik antara KPDN dan MINDET dalam memperkukuh kesedaran serta pembangunan harta intelek di Sabah, khususnya dalam kalangan usahawan dan pencipta tempatan.

“Kami berpandangan masih banyak potensi yang boleh diteroka secara bersama, termasuk melalui kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), agensi di bawah KPDN untuk merangka pelbagai program berkaitan harta intelek di Sabah, termasuk aspek latihan dan pembangunan kapasiti melibatkan penjawat awam serta pelbagai pemegang taruh,” tambahnya.

Armizan menegaskan peranan MINDET amat penting dalam menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0, khususnya dalam memacu inisiatif berkaitan pembangunan harta intelek yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama