KOTA KINABALU: Persiapan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 peringkat negeri di Papar berjalan lancar dan dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung pada 1 Mei ini.
Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali berkata, jawatankuasa pelaksana telah membuat persiapan yang dilaksanakan secara rapi sejak awal April dan kini berada pada tahap memuaskan.
"Setakat ini segala persiapan termasuk pengisian program di dalam dan luar Dewan Masyarakat Papar kini berada pada tahap yang memuaskan dan berjalan lancar menjelang majlis perasmian pada 1 Mei nanti.
"Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang dijangka tiba pada jam 9.00 pagi, selain turut dihadiri pemimpin utama negeri, ketua jabatan persekutuan dan negeri serta jemputan khas dari Kalimantan Utara.
"Sambutan Kaamatan di Papar bukan sahaja bertujuan memartabatkan budaya tradisi, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sabah," katanya ketika ditemui media selepas temubual di konti Radio SABAHFM dalam segmen 'Bah Ngam La Tu' yang dikendalikan DJ Noddy dan Kak Lang di Jabatan Penyiaran Sabah, pada Selasa.
Menurutnya, Papar turut mencatat sejarah apabila julung kali menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan kehadiran dan sokongan orang ramai bagi memeriahkan sambutan tersebut selain menjadi wadah dalam mengekalkan warisan budaya negeri.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
