Bantuan kebajikan Sabah masih kekal antara RM200 hingga RM350 - Rina


KOTA KINABALU: Kadar bantuan kebajikan negeri di Sabah ketika ini masih dikekalkan antara RM200 hingga RM350, bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri, kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.

Beliau menjelaskan, sebarang kenaikan kadar bantuan memerlukan pertimbangan berdasarkan kemampuan kewangan semasa negeri.

Manakala, bagi bantuan kebajikan persekutuan pula, kadar ditentukan melalui pembentangan bajet oleh kerajaan pusat di Parlimen.

“Kerajaan negeri dan persekutuan turut menambah baik kelayakan penerima berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.

“Pendapatan Ketua Isi Rumah meningkat daripada RM1,198 pada 2025 kepada RM1,236 pada 2026, manakala pendapatan per kapita daripada RM322 kepada RM348,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Inanam, Edna Jessica Majimbun pada persidangan DUN, hari ini.

Katanya, pemberian bantuan kebajikan tidak berasaskan konsep negara kebajikan (Welfare State) sepenuhnya, sebaliknya bertujuan membantu penerima untuk kembali berdikari.

Menurutnya, bantuan diberikan berdasarkan kelayakan dan bukan hak mutlak, dengan mengambil kira potensi penerima yang masih produktif.

“Permohonan yang lengkap akan disiasat dan dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan bukan hak tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan jantina. 

“Bantuan ini bersifat sementara bagi membantu individu atau keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penamatan bantuan boleh berlaku atas beberapa faktor termasuk peningkatan pendapatan melepasi PGK, kematian, berpindah, maklumat tidak sahih atau kegagalan mengemukakan borang kaji semula.

Bagi skim bantuan tidak produktif pula, semakan dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali sebelum keputusan penamatan dibuat.

Katanya, setiap penamatan bantuan akan dimaklumkan kepada penerima sama ada melalui sistem atau secara manual.

“Kerajaan sentiasa memastikan ketelusan melalui garis panduan, latihan pegawai, pemantauan berkala serta semakan sistem dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penerima yang masih memerlukan bantuan selepas penamatan boleh membuat permohonan baharu dengan mengemukakan dokumen sokongan lengkap.

“Permohonan boleh dibuat secara manual menggunakan borang permohonan yang boleh didapati di Pejabat Kebajikan di daerah masing- masing ataupun secara atas talian (online) melalui Sabah Welfare Aid Application (SWAA) bagi bantuan negeri dan Sistem eBantuan bagi bantuan persekutuan,” tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama