KOTA KINABALU: Sikap membuang sampah serta sisa minyak dan gris (FOG) ke dalam sistem pembetungan dikenal pasti sebagai punca utama masalah paip kumbahan tersumbat di kawasan bandar.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, berdasarkan statistik aduan 2026 di kawasan Api-Api, kebanyakan kes kumbahan tersumbat berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Masalah ini berlaku apabila sampah dan sisa minyak dibuang ke dalam sistem pembetungan sehingga menyebabkan aliran tersumbat.
“Justeru, kesedaran masyarakat amat penting bagi memastikan sistem ini dapat berfungsi dengan baik,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPP Sabah) sedang melaksanakan kerja menaik taraf paip pembetungan di sekitar Jalan Teluk Likas dan Jalan Tuaran Bypass.
Katanya, projek itu melibatkan aliran kumbahan dari kawasan pusat perniagaan (CBD) ke Kolam Oksidasi Inanam melalui dua projek di bawah Skim Pembetungan Kota Kinabalu.
“Kedua-dua projek menggunakan teknologi tanpa korek (trenchless) melalui kaedah Cured-In-Place Pipe (CIPP) yang membolehkan kerja pembaikan dilakukan tanpa penggalian terbuka.
“Kaedah ini mengurangkan gangguan kepada lalu lintas dan perniagaan, selain mampu memanjangkan jangka hayat paip sehingga 50 tahun,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan turut merancang penambahbaikan sistem pembetungan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk penggunaan teknologi robotik CCTV untuk pemeriksaan dan pemetaan paip.
Dalam pada itu, JPP Sabah giat melaksanakan program kesedaran kepada masyarakat termasuk jelajah pendidikan di sekolah dan komuniti sekitar Kota Kinabalu.
“Pemeriksaan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga dijalankan bagi menangani isu pembuangan sampah dan FOG ke lurang kumbahan,” tambahnya.
Beliau menambah, usaha turut diperkukuh dengan penambahan aset termasuk lori nyahenapcemar (desludging tanker) serta pelantikan dua kontraktor luar bagi menangani aduan kumbahan khususnya di kawasan pusat bandar.
.png)