Penyampaian Hadiah KPTNS ke-40 Berlangsung 17 April

 

KOTA KINABALU : Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah ke-40 (KPTNS) akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 April ini.

Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Elisya Ahmad Shah berkata KPTNS ke-40 merupakan pencapaian penting yang menandakan empat dekad usaha berterusan dalam memartabatkan seni visual di negeri ini.

"Penganjurannya bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-75, Tun Musa Aman dan menjadikan majlis ini bukan sahaja acara seni malah sebahagian daripada sambutan rasmi negeri.

"Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri memperkasa industri seni sebagai elemen pembangunan masyarakat, selain mencungkil dan mengetengahkan bakat seni visual anak muda, profesional dan baharu.

"ia seterusnya melahirkan generasi kreatif yang mampu membawa nama Sabah ke peringkat  lebih tinggi," katanya semasa sesi temu bual radio segmen Kupivibez di konti Kupi-Kupi FM, pada Selasa.

Menurut Sara, majlis perasmian adalah tertutup namun Karya Pilihan akan dipamerkan kepada orang awam bermula 24 April hingga 7 Julai ini di Galeri Yaman dan Galeri Umum, Balai Seni Lukis Sabah.

"Galeri tersebut akan dibuka dari Selasa hingga Ahad bermula jam 9.00 pagi sehingga 4.00 petang.

"Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya seni terbaik negeri dan menjadikan seni lebih dekat dengan rakyat serta tidak terhad kepada acara eksklusif," ujarnya.

Beliau berharap KPTNS ke-40 terus menjadi platform utama memperkasa seni visual di Sabah dan mendapat sambutan  menggalakkan daripada orang ramai sebagai tanda penghargaan terhadap karya seni tempatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama