Japen, MAFFI Kerjasama Bimbing Komuniti Madani Sertai Bidang Pertanian, Perikanan

 

KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan mengadakan program bimbingan pertanian dan perikanan kepada Komuniti MADANI di negeri ini.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, berkata inisiatif itu membuka peluang kepada masyarakat khususnya golongan belia, menjadikan sektor agromakanan sebagai sumber pendapatan yang mampan.

“Program ini memberi ruang kepada komuniti untuk meningkatkan kemahiran serta keupayaan menjana pendapatan sendiri dan memperkukuh ekonomi setempat.

"Pendekatan tersebut memberi pendedahan dan menyediakan sokongan teknikal berterusan bagi memastikan hasil pertanian serta perikanan komuniti mencapai standard kualiti tinggi.

"Antara fokus utama termasuk latihan teknik penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara lebih efektif di kawasan strategik yang dikenal pasti.

“Selain itu, pembangunan akuakultur turut diberi perhatian bagi membolehkan komuniti menguasai kaedah penternakan ikan secara sistematik mengikut kesesuaian geografi setempat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar di Wisma Pertanian, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin serta Penolong Pengarah, Edi Rizam Kasim.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama