KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada Isnin.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2024.
"Suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027.
"Suspek juga disyaki menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan beberapa kontrak kerja di agensi kerajaan sekitar Sabah," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
